Sinopsis Maaf Jika Aku Tak Sempurna



Sinopsis Drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna Slot Akasia TV3

Maaf Jika Aku Tak Sempurna mengisahkan Melina (Sara Ali), anak gadis Datuk Zakri (Zamarul Hisyam) yang hanyut dalam keseronokan hidup sebagai anak muda di ibukota. Pergaulan bebas dan sikap yang suka berlibur di kelab-kelab malam membuatkan Datuk Zakri dan Datin Maziah (Amy Mastura) berasa risau. Pembelajaran dan kuliah-kuliah juga sering diabaikan gadis berusia 23 tahun itu.

Melina berubah menjadi anak gadis yang angkuh, sombong, lepas laku dan sering melawan apabila dinasihati. Atas sebab itu, Datuk Zakri terpaksa meminta pertolongan anak lelaki sahabat baiknya iaitu Luqman Haqeem (Fahrin Ahmad) untuk menjaga Melina. Luqman Haqeem adalah anak tunggal kepada Rashid dan Aliah yang tinggal di Cameron Highlands. Sekembalinya dari UK selepas menamatkan pembelajaran, Luqman bekerja sementara di kebun sayur milik keluarganya di tanah tinggi tersebut.

Atas rasa serba salah kerana jasa yang pernah diberikan oleh Datuk Zakri, Luqman akhirnya akur menerima tugas barunya sebagai penjaga Melina. Dia diarahkan menjadi pemandu dan juga pengawal peribadi bagi mengekang kebebasan terlampau yang selama ini dimiliki gadis itu. Pertelingkahan tercetus dan pergaduhan sering mewarnai pertemuan mereka berdua.

Bagi Melina, Luqman memang lelaki penyibuk yang diupah oleh ayahnya untuk mengongkongnya. Dia ke kelab malam, Luqman akan datang mengheretnya pulang. Dia berpeleseran dengan kawan-kawan, Luqman akan muncul menariknya pergi. Dia benar-benar bencikan Luqman.

Biarpun lelaki kacak itu menjadi rebutan gadis-gadis di kolejnya, semua itu belum mampu mengubah perasaan Melina. Baginya Luqman hanyalah seorang lelaki kampung yang tidak berpelajaran, berfikiran tertutup dan ketinggalan zaman. Biarlah setampan mana pun lelaki itu, Luqman tetap menjadi manusia paling dibencinya. Lebih-lebih lagi dengan sikap Luqman yang sering lantang mempersoalkan gaya hidupnya yang bebas. Dia sering cuba membebaskan diri dari kawalan Luqman namun seringkali gagal kerana lelaki itu lebih pantas menghidu niatnya.

Semuanya berubah apabila bapa Melina meninggal dunia dalam kemalangan. Dan kerana terpaksa, Melina dikahwinkan dengan Luqman. Ikuti kisah Melina dan Luqman menerusi drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna.


Sumber: melvister.com